Sungei Lumpoor

Di bawah rimbunan batu gedung pencakar langit dan lingkaran lebuh raya yang melilit Kuala Lumpur, sungai purba itu seakan-akan masih berbisik perlahan menyebut namanya yang sudah dilupakan: Sungei Lumpoor.

Sejarawan JM Gullick pernah mengusulkan bahawa nama ibukota ini mungkin berasal daripada Sungei Lumpoor yang misterius yang menjadi penempatan pelombong bijih timah seawal tahun 1820-an.

Ada yang berkata, ia adalah nama lama bagi Sungai Gombak. Banyak juga pendapat yang lain. Tapi semuanya kembali kepada satu gambaran — lumpur.

Lumpur di pertemuan sungai yang sarat dengan bijih timah yang menjadi buruan para pelombong, pedagang, penguasa dan penjajah.

Dan di situ ada rahsia alam yang menumbuhkan keindahan dan kemegahan. Lumpur itu kotor, berbau hamis, tidak berharga, dan dipandang hina. Tetapi daripada lumpur yang hina itu juga munculnya bunga teratai yang mekar indah, berwarna-warni dan memukau pandangan.

Seperti teratai, Kuala Lumpur; lahir daripada kuala berlumpur, lalu berkembang maju menjadi antara bandar moden paling makmur di Asia Tenggara.

~ AMIR LI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *